Thursday

SAKIT JIWA TINGKAT KES BUNUH DIRI


Merujuk surat Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud bertajuk Gangguan Jiwa patut diiktiraf sakit kritikal 11 januari lalu. Harus diakui kesihatan mental masih kurang mendapat perhatian berbanding penyakit diabetes, kardiovaskular, barah dan AIDS.

Statistik kementerian Kesihatan menunjukkan 400,227 pesakit mental mendapat rwatan di hospital kerajaan pada 2008, sekaligus menyaksikan peningkatan 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.


Statisktik Jabatan Psikologi Universiti Malaya yang menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada sembilan rakyat Malaysia mengalami masalah mental juga amat membimbangkan.

Keadaan ini turut menyumbang kepada peningkatan bunuh diri iaitu 9 dan 12 orang bagi 100,000 penduduk berbanding lapan mangsa pada 1980an. Kadar membunuh diri kaum India pula mencatat antara 30 - 35 mangsa setiap 100,000 penduduk.

Analisis terhadap 21,144 individu yang menghubungi Befrienders Kuala Lumpur, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan khidmat kaunseling untuk mereka yang putus asa mahu membunuh diri pada 2007 menunjukkan 20 peratus yang menghubungi NGO itu ialah mereka yang mahu membunuh diri.

Kajian Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NRSM) bagi Julai-Disember 2007 mencatatkan 113 kes dengan 82 daripadanya lelaki dan 41 sudah berumahtangga.

Laporan sulung NRSM membabitkan kajian enam bulan itu turut menyatakan kecelaruan mental secara konsisten ditemui dalam setiap kes membabitkan mangsa yang membunuh diri.

Keadaan kesihatan mental kanak-kanak juga membimbangkan tetapi dipandang remeh.

Menurut Pertubuhan KSeihatan Sedunia, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah mental, kebanyakannya tidak dikesan dan tidak diberikan rawatan awal.

Masalah kesihatan mental yang kerap berlaku kepada kanak-kanak ialah gangguan daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta gangguan daya tumpuan (ADD).

Kajian Jabatan Psikiatri Pusat Perntadbir Universiti Putra Malaysia bersama lima sekolah di Petaling Jaya mendapati lebih 50 murid mengalami masalah ADHD dan secara puratanya setiap kelas Mempunyai seorang kanak-kanak ADHD pada peringkat berbeza.

Sementara itu, dianggarkan lebih 270,000 rakyat Malaysia menghidap skizofrenia iaitu penyakit mental paling serius.

Namun, kebanyakan penghidapnya tidak menyedari penyakit ini kerana seperti kata Dr Wan Mohd Rushidi, kebanyak pesakit lebih percayakan bomoh, sinseh dan perantara.

Kes seorang pelajar sekolah agama yang dituduh membunuh Muhamad Khairul Nizam Riza Azmi ,7 tahun, gara-gara seekor ayam belanda, disahkan menghidap skizofrenia dan seorang ibu tujuh anak mencurah petrol ke badan dipercayai kecewa dengan anak perempuannya sudah cukup jelas memaparkan rendahnya tahap kesihatan mental rakyat Malaysia secara amnya. Soal utamanya mengapa masa terlalu lama untuk mengiiktiraf gangguan jiwa sebagai sakit kritikal di negara ini.
Artikel ini diambil dari ruangan surat & E-mel Berita Harian (Khamis - 14 Januari 2010)

No comments:

Post a Comment